Polis Akan Terus Pantau Individu Yang Dikuarantin Di Rumah Masing-Masing.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass membuat pemeriksaan terhadap penumpang bas ekspress di pusat pemeriksaan Jalan Kampung Rampaian Laut.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau kumpulan individu yang diarahkan menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing untuk memastikan mereka tidak keluar daripada rumah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, untuk tujuan itu, PDRM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mewujudkan pasukan untuk melakukan pemeriksaan rumah ke rumah sepanjang Aidilfitri ini.

Katanya, selain pemantauan individu dikuarantin, pasukan berkenaan juga akan memastikan tiada rumah yang mempunyai bilangan individu melebihi jumlah dibenarkan selaras dengan keputusan pihak kerajaan.

“Pasukan ini akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada rumah yang mempunyai ramai individu dalam satu-satu masa.

“Semua pihak harus ingat, perayaan kita tahun ini berbeza dengan tahun-tahun lepas. Jumlah pengunjung tidak melebihi 20 orang dan mereka yang dibenarkan hanyalah waris-waris terdekat saja,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Bas Ekspress di Jalan Kampung Rampaian Laut, di sini, hari ini.

Zaini berkata, kerajaan juga sudah menetapkan, hari raya yang dibenarkan hanya sehari iaitu hari raya pertama saja dan ini disebabkan negara masih berada dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Zaini berkata, selain itu, PDRM juga akan memantau sektor pengangkutan bagi memastikan pengangkutan awam menuruti arahan untuk hanya menerima 50 peratus muatan penumpang.

Katanya, selain dari memastikan keselamatan jalan raya, polis turut memantau supaya langkah-langkah keselamatan seperti penjarakan sosial dan kebersihan serta amalan sanitasi sentiasa diamalkan.

“Bagi tujuan ini, polis mengerahkan seramai 4,469 pegawai dan anggota untuk memantau rumah-rumah serta pengangkutan awam di negeri ini.

“Namun, PDRM juga dibantu oleh pelbagai agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan beberapa agensi lagi,”katanya.

Sementara itu, Zaini turut menegaskan semua pasukan dalam PDRM turut dikerah menjalankan pemantaun sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, sebagai contoh, Pasukan Polis Marin (PPM) turut dikerah supaya memastikan Op Benteng di perairan negara berjalan dengan lancar.

“Ini bagi mengawal dan mengesan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini yang dikhuatiri boleh membawa masuk wabak Covid-19 ke negara ini.

“Selain itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut sudah dikerahkan ke kawasan sempadan bagi memantau kemasukan PTI menerusi jalan darat.

“Ia bukan saja boleh memantau kemasukan PTI tetapi juga mengawal kegiatan penyeludupan,”katanya.

Tamat