Gadis Nyaris Buta Dibaling Pemutar Skru.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seorang gadis nyaris buta selepas dibaling pemutar skru oleh abang iparnya dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, pemutar skru berkenaan bagaimanapun hanya beberapa inci tersasar dan melekat di pipi kanan gadis berusia 24 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, mengikut laporan, kejadian berlaku selepas mangsa yang baru selesai mandi terdengar bunyi bising dari bilik tidur kakaknya.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan kakaknya menjenguk ke bilik tidur wanita itu dan bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku.

“Tindakan mangsa itu membuatkan abang iparnya berang dan tidak puas hati kerana didakwa cuba masuk campur urusan rumah tangganya.

“Disebabkan itu, abang iparnya (suspek) terus bertindak membaling pemutar skru ke arah mangsa dan terkena pada pipi kanannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pendarahan yang banyak di pipinya sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan.

“Suspek lelaki berusia 34 tahun itu berjaya ditahan pada jam 8.30 malam dan terus dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Pemutar skru yang digunakan dalam kejadian berkenaan turut berjaya dirampas,”katanya.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Tamat