PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1441H/2020M OLEH YAB DATUK SERI MOHD SHAFIE APDAL, KETUA MENTERI SABAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Saya dan isteri serta keluarga ingin mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat di negeri Sabah.

Kita sedar dan tahu, perayaan Hari Raya pada kali ini merupakan satu perayaan yang bersekali dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat di seluruh dunia, termasuklah di negara ini, iaitu kita berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Wabak yang melanda ini bukan hanya melumpuhkan perjalanan dan juga pertumbuhan ekonomi, tetapi ia juga menjejaskan kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Menyedari tentang ancaman Covid-19, maka antara langkah yang kita ambil ketika musim perayaan termasuklah mengehadkan bilangan ahli keluarga di dalam sesebuah rumah, larangan kunjung mengunjung, balik kampung dan sebagainya.

Hakikatnya, semua yang kita laksanakan ini bukanlah bertujuan untuk menyekat ataupun tidak memberi kebebasan kepada semua masyarakat di negara kita khususnya di Sabah, apatah lagi sewaktu musim perayaan.

Apa yang kita lakukan adalah sebagai langkah keselamatan (preventative measure) untuk mengelak wabak ini daripada terus berjangkit.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memainkan peranan, sama ada di pihak kerajaan, mahupun rakyat untuk sama-sama mengawal  penularan Covid-19.

Justeru, saya ingin mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk mematuhi semua Standard Operating Procedure (SOP) Sambutan Perayaan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Kerajaan Sabah turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang  telah menyokong segala usaha kerajaan dalam membendung wabak ini daripada terus merebak.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya langkah-langkah yang kita laksanakan telah sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan rakyat di Sabah.

Semua ini kita lakukan dengan niat dan tujuan yang baik, bagi menghindari Covid-19 sekaligus menyelamatkan nyawa manusia di negeri ini.

Akhir kata, sekali lagi saya dan isteri serta keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.