Pusat Karaoke Di Towering Diserbu Lagi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

PENAMPANG: Pusat karaoke di Towering, di sini, yang pernah diserbu April lalu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi diserbu polis selepas didapati beroperasi, semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, jam 12.05 tengah malam itu, seramai 10 individu termasuk empat wanita berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kegiatan pusat hiburan itu dikesan selepas anggota yang menjalankan rondaan dan pemantauan PKPB terdengar bunyi bising di kawasan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya mendapati pusat hiburan yang pernah diserbu 7 April lalu sekali lagi ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pasukan polis terus bertindak menyerbu premis berkenaan dan menahan enam lelaki bersama empat wanita yang sedang berhibur.

“Individu yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 37 dan semua merek dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pusat karaoke berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.

“Pemilik pusat ini masih berdegil dan berani beroperasi walaupun sebelum ini pernah diserbu dan menahan penjaga premis serta tiga pengunjung.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 iaitu menjalankan operasi premis hiburan tanpa lesen dan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 iaitu aktiviti terlarang termasuk perniagaan restoran di dalam pusat hiburan,” katanya.

tamat