Ibu Dan Empat Anak Rentung

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Membakut: Syawal yang amat menyedihkan untuk sebuah keluarga di Kampung Binsuluk, di sini, selepas seorang ibu bersama empat anak lelakinya rentung dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Mangsa yang rentung dikenali sebagai Aishah Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24.

Selain daripada itu, dua lagi anaknya berusia 29 dan 25 tahun turut cedera melecur dan dirawat di Hospital Beaufort.

Manakala Suami Aishah, Othman Ali, 64 bersama salah seorang menantunya terselamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, panggilan kecemasan diterima mengenai kebakaran itu pada jam 2.54 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

“Pasukan bomba berjaya menyekat dan mengawal kebakaran pada jam 5.50 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan menemui lima mangsa rentung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Dua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

tamat