Lelaki ditahan bersama 42,000 batang rokok seludup.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

SIPITANG: Seorang lelaki ditahan bersama 42 kotak besar berisi rokok pelbagai jenama disyaki diseludup yang disembunyikan di dalam van di Kampung Padang Berampah, di sini, kelmarin.

Kejayaan tangkapan itu hasil operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.

Champin berkata, operasi itu dijalankan bagi melakukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 selepas menerima maklumat berkaitan sebuah van yang mencurigakan.

Katanya, sebaik berjaya mengesan van berkenaan, pasukan polis terus melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Berampah, di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berada di dalam rumah berkenaan.

“Lelaki itu kemudian mengakui yang van berkenaan milikinya dan pemeriksaan terhadap kenderaan itu membaw kepada penemuan 42 kotak besar berisi rokok pelbagai jenama tanpa cukai kastam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, tangkapan berusia 44 tahun bersama rokok dibawa ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut dalam aktiviti penyeludupan rokok seludup.

“Siasatan awal mendapati semua rokok itu adalah barang larangan import yang tidak membayar cukai.

“Rampas 42 kotak itu berisi sebanyak 42,000 batang rokok pelbagai jenama,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Mohon orang ramai khususnya warga di daerah ini supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam aktiviti jenayah penyeludupan dan penjualan dadah syabu serta lain-lain jenayah,” katanya.

tamat