APMM Patahkan Cubaan Seludup Rokok.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok di perairan Kampung Selamat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, sebanyak 500 karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran berjaya dirampas.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Norrimi Hassan berkata, operasi dilakukan selepas pasukan APMM yang mendapat maklumat hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan Bot Banggi 11 yang sedang menjalankan pemantauan berjaya mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan berhampiran perairan Kampung Selamat.

“Menyedari kehadiran bot peronda APMM, juragan bot kemudiannya bergerak ke kawasan perairan Kampung Selamat iaitu kira-kira 0.7 batu nautika barat Pulau Bum Bum.

“Juragan bot bagaimanapun bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan perkampungan atas air berhampiran,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Norrimi berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui beberapa bungkusan kotak yang berisi muatan rokok pelbagai jenama.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan rokok yang dirampas dianggarkan berjumlah RM94,980 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Zon Maritim Semporna akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di Perairan Semporna.

“Maritim Malaysia memandang serius aktiviti yang membabitkan penyeludupan barangan termasuklah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Aset ronda juga akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang kemungkinan,”katanya.

Norrimi berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan terus dengan menghubungi terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan dilaut dan tindakan segera.

Tamat