Pertukaran Kerajaan Salah Satu Punca Kelewatan Pan Borneo.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Pertukaran kerajaan pada tahun 2018 adalah salah satu sebab kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pertukaran kerajaan itu menyebabkan pelaksana projek berkenaan juga beralih tangan.

Katanya, pelaksana projek berkenaan kini diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sepenuhnya.

“Fasa 1 membabitkan 11 pakej iaitu sejauh 706 kilometer dari Sindumin-Kota Kinabalu-Batu 32 Sandakan-Tawau dan juga jalan pesisir pantai dari Tuaran ke Kudat, sepatutnya 32 peratus siap.

“Namun disebabkan masalah itu, terdapat kelewatan hingga projek berkenaan hanya mencapai 21.2 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Lebuhraya Pan Borneo dirancang sejauh 1,236 kilometer dan menjadi nadi penting penggerak ekonomi negeri itu.

Katanya, beliau berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat menyegerakan pelaksanaannya projek itu.

“Beliau amat berpengalaman dalam mengendalikan projek ini semasa menjadi Menteri Kerja Raya.

“Rakyat Sabah amat berharap menteri dari Malaysia Timur ini dapat mengambil tindakan segera untuk mengembalikan projek ini pada landasan betul dan dapat menyegerakan pelaksanaannya,” katanya.

Tamat