Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
MEMBAKUT: Syarikat Padiberas Nasional Berhad menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran, arwah Aisah Jumat, 58, yang merupakan kakitangan BERNAS, semalam.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Jabatan Perhubungan dan Pihak Berkepentingan Bernas (Sabah) Jasnih Daya, kepada suami mangsa, Othman Ali di Kampung Sungai Damit, di sini.
Jasnih dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, pihak pengurusan BERNAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Othman Ali di atas pemergian isteri dan empat orang anaknya dalam kejadian berkenaan.
“Bagi pihak seluruh kakitangan BERNAS, kami amat berdukacita di atas kejadian tersebut dan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka.
“Sesungguhnya berat mata kami memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul,” katanya.
Puan Aisah Jumat, 58, bersama empat anaknya terkorban selepas rumah mereka terbakar di Kampung Binsuluk, Membakut pada pagi syawal baru-baru ini.
Anaknya yang terkorban ialah Dzulkarnain, 32, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 tahun.
Sementara suami Aisah, Othman, 64 dan dua anaknya lagi terselamat dan mengalami cedera ringan.
Jasnih berkata, Aisah berkhidmat dengan BERNAS selama 36 tahun sejak tahun 1984.
“Kami kehilangan seorang kakitangan yang rajin dan komited dengan tugasnya. Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh warga kerja BERNAS di Sabah” katanya.
Selain sumbangan wang ringgit, BERNAS turut menyampaikan sumbangan beras dan barang keperluan dapur.
Hadir sama dalam lawatan tersebut, Yang Dipertua Kelab Bernas Malaysia Cawangan Sabah, Hervian Kirman.
TAMAT