Stesen Minyak Seleweng Bahan Bakar Bersubsidi Diambil Tindakan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kudat: Sebuah stesen minyak, di sini, dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati terbabit melakukan penyelewengan bahan bakar bersubsidi, pagi tadi.

Dalam serbuan jam 5.30 pagi itu, stesen minyak di daerah Kota Marudu itu didapati menjual bahan api petroleum bersubsidi kepada pembeli yang tidak mempunyai kebenaran dari Pengawal Bekalan.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kudat, Geoffrey Gumalang berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota selepas menerima aduan dan risikan berhubung aktiviti penyelewengan minyak petrol di stesen terbabit.

Katanya, risikan selama dua hari di stesen minyak berkenaan mendapati terdapat aktiviti mencurigakan membabitkan lori 3 tan yang penuh dengan drum berwarna biru kapasiti 200 liter.

“Selain itu, siasatan turut mendapati terdapat sebuah kereta pacuan empat roda turut membuat pengisian minyak petrol RON95 di stesen berkenaan.

“Siasatan mendapati tiada sebarang surat kebenaran bertulis kepada kedua-dua kenderaan itu dan pasukan serbuan terus menyita keseluruhan 3,321 liter bahan bakar bersama kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Geoffrey berkata, nilai keseluruhan rampasan minyak petrol bersama-sama kenderaan berkenaan dianggarkan berjumlah RM104,883.74 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, tindakan kes diambil mengikut Seksyen 21 dan Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP turut menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 70 tahun bersama pengusaha stesen minyak untuk tindakan selanjutnya.

“Semua individu terbabit disiasat mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjual minyak Petrol/Diesel kepada orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya.

Geoffrey berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM 1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 3 juta.

“KPDNHEP Kudat akan meneruskan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk pengusaha stesen minyak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan berkaitan minyak petrol dan diesel.

“Orang ramai dan pengusaha stesen minyak diingatkan bahawa mana-mana pihak yang membeli minyak petrol dan diesel bagi tujuan selain mengisi minyak ke dalam kenderaan peribadi perlu mendapatkan Permit Khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP,” katanya.

Geoffrey berkata, permohonan boleh dibuat menerusi http://mysubsidi.kpdnhep.gov.my/permitkhas/ bagi kategori kegunaan persendirian, forklift, pertanian, pengusaha industri makanan, penempatan penduduk di kawasan pedalaman dan nelayan bukan sepenuh masa secara kecil-kecilan.

“Kuantiti maksimum yang dibenarkan dalam Permit Khas adalah sebanyak 200 liter sehari,” tegasnya.

Tamat