Tidak Patuh SOP PKPB, 12 Premis Diarahkan Tutup

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Sebanyak 12 premis di sekitar daerah ini diarah tutup selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam Op Pematuhan SOP, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 8 pagi hingga 5 petang itu, sempat melakukan pemeriksaan terhadap 110 premis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 12 premis tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“12 premis yang diarahkan tutup itu membabitkan tujuh kedai runcit dan lima restoran.

“Ini berikutan semua premis berkenaan tidak mematuhi SOP ditetapkan ketika (PKPB) sedang dikuatkuasakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nazri berkata, setakat ini tiada kompaun dikeluarkan namun pihak berkuasa akan terus memantau semua premis perniagaan di daerah ini.

Sementara itu, Nasri memberitahu, operasi Ops Pematuhan SOP yang dijalankan hari ini adalah antara kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angakatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi SOP ditetapkan.

Tamat