Lima Ditahan Ceroboh Pelantar Minyak

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Lima lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan di perairan laut pelantar minyak Tembungo, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, kegiatan lima lelaki terbabit yang menaiki lima bot di kawasan pelantar itu disedari selepas pasukan PPM menerima maklumat daripada pihak pengurusan pelantar.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh berkata, sebelum maklumat diterima, pasukan PPM sedang melakukan rondaan di perairan sekitar berkenaan sebelum bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, lima bot yang dinaiki lima lelaki itu dilihat sedang giat menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran kawasan pelantar minyak berkenaan.

“Lima lelaki warga tempatan bersama bot masing-masing kemudian ditahan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan.

“Semua yang ditahan berusia 26 hingga 65 tahun termasuk dua beradik atas kesalahan menceroboh kawasan larangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Enturan berkata, semua suspek bersama bot masing-masing dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM75,000 dan kes disiasat mengikut kesalahan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

tamat