Lelaki Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM207,378.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass bersama Timbalannya, Datuk Mazli Mazlan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com
Pix: Lo Teck Loong

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan bersama 5.184 kilogram dadah dipercayai jenis methamphetamine atau syabu, yang dianggarkan bernilai RM207,378 dalam operasi yang dijalankan polis di daerah Semporna, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, kejayaan itu hasil risikan dan intipan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Katanya, lelaki warga asing berusia 25 tahun itu berjaya ditahan pada jam 7.30 malam di Terminal Bas, Semporna.

5.184 kilogram dadah dipercayai jenis syabu, yang dianggarkan bernilai RM207,378

“Semasa tangakapan itu lelaki terbabit dikesan sedang membawa sebuah kotak yang dipercayai baru tiba daripada Kota Kinabalu melalui pengangkutan darat.

“Hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan mendapati terdapat 29 kotak kecil berisi ‘earphones’ dan lima lagi bungkusan besar bertulis teh hijau yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan.

Zaini berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan dianggarkan boleh digunakan kira-kira 1,000 penagih dalam jangka masa satu bulan.

“Suspek terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin lalu untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Zaini berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tamat