Enam Dikompaun Langgar PKPB.

Antara Yang Ditahan Polis Kerana Melanggar PKPB

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Enam lelaki dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah pondok di Pantai Sahabat 16, di sini, semalam.

Semua lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan anggota Polis Balai Polis Desa Kencana menjalankan tugas pemantauan OP Covid 19 (PKPB) di kawasan sekitar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika operasi pemantauan dijalankan, pihaknya mengesan enam lelaki yang berkumpul di dalam sebuah pondok itu dan langsung tidak mengamalkan penjarakkan sosial.

Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan bertanya tujuan mereka di lokasi berkenaan, kumpulan lelaki terbabit gagal memberikan sebab yang munasabah untuk berkumpul.

“Pasukan polis kemudiannya menahan semua enam lelaki terbabit kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 7 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.6).

“Mereka juga boleh dihukum mengikut peraturan 15 (1) peraturan yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lelaki Berusia 23 Tahun Hingga 28 Tahun Yang Ditahan Di Sebuah Pondok di Pantai Sahabat 16, Di Sini, Semalam.

Nasri berkata, semua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya termasuk proses pengeluaran kompaun.

Sehubungan itu, Nasri menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan PKPB yang dikuatkuasakan dan mengamalkan langkah pencegahan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Polis juga mengingatkan masyarakat supaya memastikan amalan penjarakan sosial terutamanya ketika berada di tempat awam yang menjadi pusat tumpuan ramai,” katanya

Tamat