Pusat Kebudayaan Bajau Sama Dijangka Siap Ogos Ini: Madius

Madius bersama wakil agensi yang hadir melawat sekitar bangunan Pusat Kebudayaan Bajau Sama


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TUARAN: Isu berhubung kelewatan pembinaan bangunan Pusat Kebudayaan Bajau Sama, di sini, dianggap selesai dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, hasil daripada aduan awam yang diterima sebelum ini, beliau meminta agensi-agensi yang terbabit supaya mencari jalan penyelesaiannya.

Katanya, ia termasuk mengadakan perbincangan bersama pihak kontraktor bagi menyelesaikan isu yang wujud termasuk menyegerakan masalah urustadbir yang masih belum selesai.

“Tujuan utamanya ialah memastikan projek ini dapat diselesaikan mengikut jadual. Jadi hari ini saya meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan Pejabat Daerah Tuaran supaya proses kelulusan Perancangan Pembangunan (DP) Pusat Kebudayaan Bajau Sama dipercepatkan.

“Yang paling penting, projek ini dapat disiapkan bukan sahaja mengikut jadual tetapi juga memenuhi objektif pembinaannya iaitu untuk mempromosikan kesenian dan kebudayaan Bajau Sama,” katanya.

Madius (dua kanan) mendengar taklimat yang disampaikan oleh perunding merangkap Arkitek Projek Chan & Shahriman Akriktek Sdn. Bhd., Adora Shariman (tepi kanan). Turut kelihatan Sofian (dua kiri) dan Dr Jamili (tepi kiri).

Madius berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan tapak dan sesi taklimat bersama pihak pembekal dan semua agensi yang terlibat di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Jamili Nais, Pengurus Besar LKNS, Mansur Asun dan Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair.

Madius berkata, apabila siap nanti, bangunan itu akan menjadi salah satu mercu kebanggaan Sabah khususnya rakyat di Tuaran.

Katanya, secara peribadi beliau berbesar hati untuk melihat kesenian dan kebudayaan suku Bajau Sama di negeri ini sentiasa terpelihara.

“Mengikut jadual asal, bangunan ini sepatutnya sudah siap. Tetapi selain terjejas ekoran pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan, pihak pemaju juga memaklumkan mereka menghadapi beberapa kesukaran untuk mendapatkan sumber bahan binaan seperti pasir dan sebagainya.

“Mereka sudah diberikan tempoh lanjutan untuk menyiapkan bangunan ini dan ia dijangkakan  siap sepenuhnya dalam masa dua bulan dari sekarang,” katanya.

Untuk rekod, pembinaan Pusat Kebudayaan Bajau Sama dibina di atas tanah seluas 1.4 hektardi Kampung Lok Batik Tuaran dengan peruntukkan sebanyak RM7.5 juta.

Tamat