Tindakan Pantas Selamat Rumah Kakak Dari Musnah Terbakar.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Beaufort: Tindakan pantas seorang lelaki membantu mengawal api kebakaran berjaya menyelamatkan rumah kakak daripada musnah sepenuhnya dalam kejadian di Kampung Rancangan Klias, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengalami kecederaan di tangan kirinya selepas berusaha membantu ahli keluarga yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Difahamkan, mangsa cedera selepas terkena serpihan cermin dipercayai ketika cuba membantu tiga ahli keluarga lain keluar daripada rumah yang terbakar.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohamad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 9.57 pagi.

Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Setiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat sudah terbakar 90 peratus dan pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Api berjaya dikawal jam 10.50 pagi dan kebakaran memusnahkan sebuah rumah manakala sebuah lagi terbakar 25 peratus di bahagian dapur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Hasbullah berkata, seorang lelaki cedera ketika cuba membantu memadam api manakala empat penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

“Maklumat awal api bermula dari bilik atas rumah namun punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba.

“Jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM100,000,” katanya.

Operasi memadam turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gadong dan Rancangan Klias.

Tamat