Seorang Maut Dan Lima Cedera Dalam Kemalangan Di Jalan Lama Papar.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan menyebabkan seorang wanita maut manakala lima yang lain cedera.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Papar: Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera selepas satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan berlaku di Jalan Papar Lama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang maut, Christina Ginsu, 44, yang menaiki Proton Axia dikatakan parah selepas tersepit di tempat duduk hadapan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kemalangan membabitkan Perodua Axia, Nissan Navara dan sebuah lori tiga tan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 2.33 petang sebelum mengerahkan sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang mangsa didapati tersepit di tempat duduk hadapan dan operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Papar,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya, mangsa yang lain berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun yang cedera diberikan rawatan.

“Seorang daripada mangsa lelaki turut dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.42 petang,” katanya.

Tamat