Empat Terselamat Kereta Bertembung

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Empat nyaris maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dalam kejadian di Penampang-Tambunan, berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki Perodua Viva cedera selepas tersepit di dalam kenderaan manakala pemandu Perodua Bezza pula tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.51 malam dan mengerahkan dua jentera bersama sembilan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, tiga mangsa masih berada di dalam Perodua Viva dan pasukan bomba terus bertindak menjalankan operasi mengeluarkan semua mangsa.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diberi rawatan sebelum dua daripada mereka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk rawatan selanjutnya.

“Pemandu Perodua Viva pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 12.18 tengah malam selepas pemeriksaan di sekitar kawasan kemalangan mendapati tiada sebarang kemerbahayaan lain.

Katanya, semua mangsa yang terbabit berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun.

Tamat