Tidak Sanggup Menanggung Malu Terbabit Aktiviti ‘Scammer’, Empat Sekeluarga Nekad Bunuh Diri.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Empat sekeluarga nekad membunuh diri dengan melepaskan gas LPG di rumah mereka, di Flat Sri Indah, Kuala Manggatal, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, keluarga terbabit dikatakan cuba membunuh diri selepas tidak lagi sanggup menanggung malu kerana terbabit dalam aktiviti penipuan ‘scammer’.

Bagaimanapun, insiden berkenaan disedari jiran selepas terhidu bau LPG dari rumah keluarga terbabit sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima makluman, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, pasukan polis yang hadir ke lokasi kejadian bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memecah masuk ke rumah berkenaan sebelum berjaya menyelamatkan semua mangsa.

“Semua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terhidu gas LPG yang dilepaskan di dalam rumah di tingkat empat bangunan berkenaan.

“Mangsa yang terbabit adalah sepasang suami isteri berusia 63 dan 60 serta dua anak berusia 29 dan 26 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, semua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun keadaan semua mangsa stabil,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, siasatan awal mendapati anak lelaki pasangan itu yang berusia 29 tahun berkenaan dikatakan terbabit dalam beberapa aktiviti penipuan ‘scammer’.

“Selain itu, suspek turut terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan bekas di bawah pemantauan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk sejauh mana pembabitkan suspek dengan kegiatan scammer.

“Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya.

tamat