Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Seramai 89 individu positif dadah ditahan dalam operasi Ops Perdana yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula 9 Jun hingga semalam.
Operasi berkenaan dijalankan membabitkan tujuh daerah antaranya Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, Beaufort, Ranau dan Keningau.
Pengarah AADK Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim berkata, operasi sela tiga hari itu dijalankan di kawasan yang sudah dikenalpasti sebagai lokasi aktif penagihan dadah.
Katanya, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya terpaksa pelbagai cabaran termasuk tindakan penagih yang terjun ke laut untuk meloloskan diri dari ditahan.
“Dalam operasi di Kampung Tanjung Kapor, Kudat, pegawai penguatkuasa AADK berjaya menahan seorang lelaki yang dikenalpasti bertindak sebagai ‘runner’ dadah.
“Hasil siasatan, ‘runner’ berkenaan mengaku mendapat upah sebanyak RM7 setiap kali penghantaran kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Hamediee berkata, selain itu pihaknya turut berjaya menahan seorang lelaki yang terbabit dalam kegiatan penagihan syabu walaupun mendakwa hanya tinggal di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, semua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun dan akan direman untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penyalahgunaan Dadah (APD) Rawatan dan Pemulihan (R&P) 1983 kerana disyaki penagih dadah,” tegasnya.
Sehubungan itu, Abdul Hamediee berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Negeri Sabah di talian 088-243576 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.
Tamat