Tiga Beranak Lemas, Dua Masih Gagal Ditemui.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TENOM: Tiga beranak termasuk dua kanak-kanak berusia 8 tahun yang cuba menyeberangi Sungai Pegalan, di Kampung Kalang Kanar, di sini, hilang selepas perahu yang dinaiki mereka terbalik, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka ditemui manakala bapa, 42, dan abangnya berusia 10 tahun masih gagal ditemui.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, ketiga-tiga mangsa warga Filipina itu dikatakan cuba menyeberangi Sungai Pagalan menggunakan perahu kecil untuk ke kebun kelapa sawit.

Bagaimanapun, arus deras di sungai berkenaan menyebabkan perahu yang dinaiki tiga sekeluarga itu gagal dikawal dan terus terbalik.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 1.15 tengah hari.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat kemudiannya segera dijalankan pasukan polis dan dibantu anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom.

“Selepas 15 minit operasi dijalankan, mangsa berusia lapan tahun ditemui di kawasan perahu berkenaan dikatakan terbalik.

“Kanak-kanak terbabit sudah meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tenom untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, usaha mencari dua lagi mangsa masih giat dijalankan namun operasi terpaksa dihentikan pada jam 5 petang selepas keadaan cuaca hujan lebat dan arus sungai semakin deras.

“Operasi mencari mangsa yang masih hilang akan disambung semula esok. Siasatan masih diteruskan dan diklasifiksikan sebagai kes orang hilang,” katanya.

tamat