Seorang Lagi Mangsa Sungai Pegalan Ditemui.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TENOM: Seorang lagi mangsa lemas tiga beranak, di Sungai Pegalan, Kampung Kalang Kanar, di sini, dalam kejadian semalam, berjaya ditemui, hari ini.

Mayat lelaki berusia 41 tahun yang juga bapa kepada dua lagi mangsa lemas terbabit ditemui jam 9.49 pagi, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Zainal Sinsian ketika dihubungi berkata, mangsa ditemui orang awam yang turut serta dalam operasi mencari bermula jam 7 pagi tadi.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya terus dihantar ke Hospital Tenom untuk proses bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan lagi bagi mencari seorang lagi anak mangsa berusia 10 tahun yang masih hilang.

“Pencarian akan diteruskan di kawasan sekitar Sungai Pegalan dan dilakukan secara berperingkat sehingga mangsa dapat ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, tiga beranak termasuk dua kanak-kanak berusia 8 tahun dan 10 tahun hilang selepas perahu yang dinaiki mereka terbalik, ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka ditemui manakala bapa, 42, dan abangnya berusia 10 tahun masih gagal ditemui.

Tamat