Seorang Lelaki Melecur Selepas Rumahnya Terbakar.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Keningau: Seorang lelaki melecur di tangan selepas dipercayai cuba menyelamatkan diri dari rumahnya yang terbakar di Kampung Mempikit, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang berjaya keluar dari rumahnya terus diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan susulan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 pagi melalui talian MERS 999.

Katanya, sepasukan enam anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan, Tony Sipin dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan sebuah EMRS.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah  dua tingkat jenis separuh kekal dengan anggaran keluasan 167 meter persegi yang terbakar 80 peratus.

“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa 26 tahun cedera di bahagian tangan semasa kejadian dan mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 11 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.39 pagi.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan anggaran kerugian dalam kejadian berkenaan.

Tamat