Lanjutkan Moratorium Pinjaman Hingga Disember 2020.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia bukan saja mengubah kehidupan tetapi juga menjejaskan pendapatan majoriti masyarakat negara ini.

Menerusi data unjuran Jabatan Perangkaan Negara yang dikeluarkan 14 Mei lalu, kadar pengangguran meningkat 5.5 peratus atau bersamaan 860,000 orang terjejas sepanjang tahun 2020.

Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah, Mazlan Joehari Manan berkata, kerajaan dan institusi perbankan negara digesa supaya melanjutkan moratorium pinjaman sehingga Disember depan.

Katanya, berdasarkan statistik itu, menunjukkan kadar pengangguran yang semakin bertambah dan akan terus bertambah untuk beberapa bulan mendatang.

“Langkah itu bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat menyusun atur hidup dan ekonomi masing-masing sehingga mampu membayar semula pinjaman.

“Merujuk kepada moratorium enam bulan yang dijangka berakhir September ini banyak membantu meringankan bebanan rakyat dengan lebihan tunai di tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, secara tidak langsung, lanjutan moratorium dan insentif lain dapat membantu kerajaan untuk mencapai hala tuju ekonomi semasa termasuk menangani isu pengangguran.

Selain itu, Mazlan turut mengakui insentif lain yang disalurkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) banyak membantu pihak majikan dan pekerja.

“Melalui pakej rangsangan PENJANA, ia banyak membantu golongan pekerja dan majikan bagi mengekalkan pekerjaan.

“Insentif-insentif berkenaan melegakan pihak majikan dan pekerja,” katanya.

Tamat