Gara-Gara RM5, Peniaga Maut Dan Pelanggan Parah.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Perselisihan faham berhubung baki wang pembelian air mineral, seorang peniaga maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian di Kampung Pulau Penampang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi lelaki berusia 20 tahun parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Menurut sumber, punca kejadian tercetus selepas anak lelaki yang cedera parah dikatakan datang ke kedai runcit berkenaan untuk membeli sebotol air mineral.

Kanak-kanak terbabit yang didakwa membayar wang RM10 kepada mangsa sepatutnya dikembalikan RM8, namun mangsa yang juga pemilik kedai runcit berkenaan hanya memberikannya RM3.

Akibat daripada kejadian itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tidak berpuas hati dan terus pergi ke kedai berkenaan untuk meminta semula baki wang yang sepatutnya.

Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin tegang apabila peniaga itu mendakwa wang yang dibayar hanya berjumlah RM5 sebelum berlaku pertengkaran antara ibu kanak-kanak terbabit dengan isteri peniaga berkenaan.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, keadaan berlarutan sehingga gagal dikawal apabila mangsa dan bapa kanak-kanak terbabit campur tangan.

Katanya, pergaduhan menjadi lebih serius apabila peniaga terbabit bertindak memukul bapa kepada kanak-kanak berkenaan.

“Bapa kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital dan kejadian semakin memuncak apabila dua lagi lelaki datang ke kedai runcit berkenaan dan bertindak memukul mangsa.

“Mangsa yang dibelasah tiba-tiba rebah manakala kedua-dua lelaki terbabit pula bertindak melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, pasukan polis yang difahamkan menerima maklumat sejurus selepas kejadian itu bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Turut kelihatan di lokasi kejadian adalah sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tamat