UMNO SABAH TEMPELAK DR. YUSOF YACOB NAFI WARISAN BERPECAH


KOTA KINABALU: UMNO Sabah menempelak Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr. Yusof Yacob kerana menafikan pergolakan dan krisis sokongan yang kini melanda parti itu.

UMNO Sabah juga menyifatkan Warisan kini dalam situasi retak menanti belah kerana selain pemimpin muda dan ahli-ahli di bahagian bertindak meninggalkan parti, malahan Wakil Rakyat Warisan (Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen) akan turut serta kerana telah hilang kepercayaan terhadap sistem pentadbiran yang mengutamakan “kroni”.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Encik Ghazalie Ansing berkata, Dr.Yusof merupakan pemimpin yang hipokrit kerana menafikan Warisan berpecah.

Katanya, umum mengetahui Warisan kini dilanda krisis dan sokongan rakyat terhadap Warisan dan Kerajaan Negeri semakin terhakis.

Beliau berkata, semakin ramai pemimpin muda Warisan di peringkat bahagian kini bertindak keluar dan meninggalkan parti secara beramai-ramai kerana telah hilang kepercayaan terhadap pemimpin dan perjuangan Warisan.

“Dr. Yusof cuba menafikan pergolakan dan krisis dalaman Warisan dengan sengaja membuat fitnah dan menuduh
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dengan pelbagai tuduhan tidak berasas. Sedangkan hakikatnya rakyat dapat melihat apa yang berlaku kepada kerajaan Sabah.

“Tindakan pemimpin-pemimpin muda ini meninggalkan Warisan kerana tidak berpuas hati dengan dasar parti itu yang mengutamakan “kroni”.

“Slogan “Sabah Kita Punya” bagi Warisan bermaksud kekayaan negeri ini diagih-agihkan antara kroni Warisan, sedangkan pemimpin muda bukan sahaja dibiarkan, malah dihalang daripada mengembangkan karier politik demi memastikan kroni mendapat habuan”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ghazalie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau mengulas kenyataan Dr.Yusof yang menyelar Bung cuba mengelirukan rakyat dengan menggambarkan situasi politik di Sabah sedang goyah.

Beliau mendakwa Bung berbohong tentang Wakil Rakyat Sabah yang dikatakan akan keluar beramai-ramai meninggalkan Warisan kerana sudah bosan dengan hala tuju parti yang tidak jelas.

“Yang tiada hala tuju adalah UMNO Sabah. Mereka sudah tidak relevan lagi di Sabah, lebih-lebih lagi apabila Bung menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.

“Rakyat sebenarnya sudah bosan dengan cara kepimpinan gangster Bung. Rakyat menilai semua ini dan Bung tidak dilihat membela rakyat sebaliknya dia ‘meroyan’ dan menyalahkan orang lain apabila kerajaan Warisan semakin kuat dan bertapak di hati rakyat,” katanya.

Ghazalie berkata, jika UMNO tidak relevan di Sabah, kenapa Warisan berasa terancam dengan UMNO Sabah?

“Sekiranya UMNO Sabah tidak relevan, sudah tentu Warisan tidak akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, walaupun semua pemimpin Warisan dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan jentera kerajaan berkempen siang dan malam memburuk-burukkan pemimpin UMNO”, tegasnya.

Menurutnya, kekalahan Warisan di PRK Kimanis jelas masih menghantui Warisan sehingga hari ini, disebabkan kegagalan mereka sendiri dalam mentadbir Sabah dan menunaikan manifesto yang dijanjikan.

Beliau menegaskan, tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melantik Ahli Parlimen Warisan menjadi Pengerusi GLC di Sabah ternyata melanggar manifesto mereka sendiri.

“Disebabkan kelemahan ini maka Warisan kini dilanda krisis kepercayaan. Pemimpin-pemimpin muda Warisan bertindak dengan berani meninggalkan parti itu kerana tidak percaya kepada pemimpin seperti Dr. Yusof. Ibarat sendiri makan najis tuduh orang lain.

“Situasi Warisan sebenarnya kini hanya retak menanti belah, sampai masanya nanti bukan sahaja pemimpin muda tetapi ADUN-ADUN Warisan juga akan meninggalkan parti itu kerana mereka telah hilang kepercayaan kepada sistem pentadbiran yang mengutamakan kroni”, tegasnya.

Ghazalie berkata, Dr. Yusof yang juga ADUN Sindumin sengaja memburuk-burukkan UMNO Sabah bagi menutup krisis dalam Warisan agar rakyat terpengaruh.

“Rakyat Sabah tidak buta, yang buta adalah Dr. Yusof, rakyat akan menghukum Warisan pada bila-bila masa.

“Yang jelas dan nyata ialah semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak ada Menteri yang telah disimbah air di muka dalam majlis rasmi seperti yang berlaku keatas seorang Menteri Kerajaan Warisan?”, tambahnya.

tamat