UPKO Penampang Bantah Kenyataan Aktivis Zainal Ajamain Berhubung Masalah Banjir Di Penampang.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: UPKO Penampang, hari ini, membantah kenyataan yang dikeluarkan aktivis politik, Zainal Ajamain di laman facebook yang menyalahkan sikap keras kepala dan pentingkan diri masyarakat Penampang menyebabkan masalah banjir di daerah itu.

Ketua Bahagian UPKO Penampang Datuk Donald Mojuntin berkata, kenyataan yang dibuat adalah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan kemarahan serta kebencian dalam kalangan penduduk Penampang terutama yang tinggal di kawasan Moyog.

Katanya, banjir kali ini bukan hanya berlaku di Penampang malah berlaku di sembilan daerah lain iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Tuaran, Tenom, Pitas, Beaufort, Membakut dan Papar.

“Perkara kedua, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada banjir di setiap daerah. Bagi Penampang, selain limpahan akibat masalah tadahan, pemotongan bukit, penambakan untuk perumahan, pembangunan, perumahan dan zon perindustrian menjadi antara penyebab masalah itu.

“Selain itu, penyelenggaraan saliran yang kurang efektif juga turut menyumbang kepada masalah banjir di daerah Penampang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Donald berkata, ini adalah fakta sebenar dan sudah berulang kali diperkatakan oleh banyak pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan.

Katanya, sebelum mengemukakan teori dan membuat kenyataan menuduh dan menghina, lebih baik membuat kajian dan penyelidikan terlebih dahulu mengenai geografi dan topografi kawasan ini.

“Zainal mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahkan penduduk Penampang atas masalah banjir yang dialami sekarang.

“Untuk makluman Zainal, penduduk Moyog, sangat rajin untuk menjalankan perniagaan dan perusahaan lain dalam usaha menambah pendapatan mereka. Malah, anak-anak mereka yang sudah dewasa juga kebanyakannya bekerja di sektor awam dan swasta,” katanya.

Donald berkata, Zainal turut memiliki keberanian untuk menuduh penduduk di Moyog menceroboh kawasan tadahan air tanpa bukti.

“Di mana pencerobohan yang didakwa berlaku dan kawasan tadahan yang terlibat? Adakah beliau turut menuduh pihak berkuasa tidak melakukan tugas untuk memastikan pencerobohan tidak berlaku?

“Banjir di Penampang memerlukan pendekatan menyeluruh untuk menanganinya. Walaupun tidak mungkin dapat mengelakkan banjir sepenuhnya, namun pelbagai usaha sedang dilakukan melalui kerjasama antara pihak berkuasa setempat dan masyarakat di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, Zainal melukai perasaan dan membuat rakyat Penampang marah dengan kenyataan yang benar-benar tidak perlu dan tuduhan yang tidak masuk akal.

Katanya, Penampang dan penduduknya khususnya berhak menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Zainal Ajamain.

Tamat