ARMADA SABAH SIAP SIAGA HADAPI KEMUNGKIN PRU MENGEJUT

KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Sabah telah bersedia sekiranya terdapat kemungkinan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Ketua ARMADA Negeri, Isquzawan Israq Arsit berkata, jentera ARMADA sentiasa dalam siap siaga jika berlaku pilihan raya mengejut (snap election)

“Biro-biro berkaitan telah ditubuhkan sebagai persediaan dan persiapan menghadapi PRU”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Ahad bahawa BERSATU Sabah bersedia menghadapi pilihan raya mengejut susulan ketidak tentuan politik yang berlaku.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, BERSATU Sabah bersedia untuk menggerakkan jenteranya dan berusaha sebaik mungkin bagi menjamin kemenangan Perikatan Nasional (PN), termasuk sekutunya PBS, PBRS, STAR Sabah, Umno dan MCA.

“Walaupun belum ada pengesahan sama ada pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat atau tidak, BERSATU Sabah mesti bersiap sedia bagi menghadapi apa-apa juga cabaran politik, termasuk pilihan raya mengejut.

“Saya menggesa semua Ketua Bahagian BERSATU di Sabah supaya bersiap sedia untuk menggerakkan jentera kempen lebih awal.

“Sekiranya pilihan raya mengejut diadakan, kita telah bersedia untuk bertindak pantas dan meraih mandat baru daripada rakyat untuk memimpin negara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat BERSATU Bahagian Tuaran.

Isquzawan berkata, jentera di peringkat Bahagian juga telah disusun sebagai persiapan awal ke arah menghadapi kemungkinan PRU lebih awal.

Katanya, sebagai sayap parti, ARMADA merupakan platform utama mendekati golongan belia kerana pengundi muda bakal menentukan kerajaan.

Isquzawan berkata, ARMADA Sabah juga akan mencadangkan pemimpin-pemimpin ARMADA yang berpotensi untuk dipertimbangkan sebagai calon PRU akan datang.

“Kita yakin pemimpin muda akan turut dipilih kerana ARMADA mempunyai ramai pemimpin yang hebat dan berpengalaman untuk diketengahkan”, tegasnya.

Tamat