KERAJAAN SABAH DIGESA SEGERA SELESAI MASALAH LAMBAKAN PASIR SUNGAI

KOTA BELUD:  Kerajaan Negeri digesa segera mencari jalan menyelesaikan masalah lambakan bekalan pasir sungai di kawasan Kota Belud.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Japlin Haji Akim berkata, beliau mendapat laporan bahawa masalah lambakan bekalan pasir sungai yang telah dilombong begitu serius sehingga mencapai ratusan juta metrik tan.

Katanya, Kerajaan Negeri telah melantik beberapa syarikat untuk menjalankan aktiviti perlombongan pasir sungai di Sungai Kadamaian hingga ke muara Sungai Kuala Abai.

Beliau berkata, aktiviti perlombongan pasir itu dilakukan bertujuan mendalamkan dan membersihkan sungai berkenaan sebagai sebahagian daripada rancangan membantu menangani masalah banjir di daerah ini.

Namun katanya, kini masalah timbul apabila pasir sungai yang telah dilombong menghadapi masalah lambakan yang serius, kerana jumlahnya melebihi permintaan dan keperluan pasaran tempatan terutama industri pembinaan.

“Kerajaan Negeri perlu segera mencari jalan menyelesaikan masalah lambakan bekalan pasir sungai di Kota Belud memandangkan syarikat perlombongan menghadapi kesukaran menjual bekalan yang ada.

“Salah satu caranya ialah membenarkan pengeksportan pasir sungai ke negara-negara jiran yang memerlukan seperti negara Brunai Darussalam dan China”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Japlin berkata, lambakan stok pasir di Kota Belud perlu dijual ke luar negara bagi menampung kos perbelanjaan syarikat-syarikat yang telah dilantik oleh kerajaan.

Menurutnya, pada bulan Mac 2020 beliau bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick telah meninjau beberapa tapak perlombongan pasir di Sungai Kuala Abai, Kadamaian.

Pada masa sama Junz turut memeriksa bekalan pasir di stok penyimpanan pasir dan menyatakan ianya lebih dari mencukupi untuk kerja-kerja pembinaan dan pembangunan di sekitar Kota Kinabalu.

“Kini stok pasir sungai Kota Belud menghadapi masalah lambakan yang serius sehingga membebankan syarikat perlombongan pasir.

“Masanya sudah tiba bagi Kerajaan Negeri membenarkan pasir sungai itu dieksport ke luar negara untuk mengatasi masalah lambakan itu selain menyelamatkan syarikat perlombongan”, tegasnya.

Japlin berkata, masalah pasir yang menimbus muara sungai menjadi punca utama  banjir sering berlaku di daerah Kota Belud.

Menurutnya, masalah sungai dan muara sungai Kota Belud menjadi tohor disebabkan oleh bencana gempa bumi yang berlaku pada tahun 2015.

Pada masa itu Kerajaan Negeri telah melantik sebuah syarikat untuk melakukan kerja-kerja mengorek, mendalam dan melombong pasir sungai secara “Design and Build” (Reka dan Bina) “Pay In Kind” tanpa kerajaan mengeluarkan sebarang bayaran untuk projek itu.

Sementara syarikat berkenaan dibenarkan mengambil dan menjual pasir yang  termasuk dalam kerja-kerja pengorekan sepanjang tempoh projek itu berjalan bagi menampung kos projek tersebut.

Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 pada tahun 2018, Kerajaan baharu telah membatalkan kontrak syarikat tersebut dan melantik 10 syarikat baharu dengan konsep  dan skop kerja yang sama..

Japlin berkata, banjir yang berlaku di Kota Belud berpunca daripada aliran air sungai yang tidak efisen.

Menurutnya, bencana alam gegaran Gunung Kinabalu pada tahun 2015 menyebabkan sungai tersumbat sehingga mengakibatkan banjir besar kerap berlaku setiap kali musim hujan seperti yang berlaku pada hujung tahun 2016, 2017 , 2018 dan terbaru pada Sabtu lalu.

Tamat