Lelaki Jatuh Sungai Ditemui Lemas


Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

PAPAR: Hasrat seorang lelaki membaiki sambungan kabel elektrik yang terputus tidak kesampaian apabila dia terjatuh dalam sungai Kampung Mondikot, di sini, sebelum ditemui lemas, petang semalam.

Mangsa, Awangku Salam, 38, ditemui pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dan orang awam pada jam 6.20 petang, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa yang dikhuatiri lemas di sungai berkenaan jam 2.44 petang.

Katanya, menurut saksi, mangsa cuba membaiki kabel yang terputus berhampiran sungai itu namun mangsa terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

“Pasukan bomba diketuai oleh Ketua BBP Papar Roslie Jun bersama enam anggota digerakan ke tempat kejadian dengan jarak sejauh 25 kilometer dari BBP Papar.

“Pasukan penyelamat kemudian menjalankan operasi SAR di sepanjang laluan sungai bersama agensi penyelamat yang lain serta orang awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada jam 6.20 petang, mangsa ditemui oleh orang awam bersama dengan pasukan penyelamat kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan dan disahkan meninggal dunia.

“Operasi menyelamat tamat jam 9.20 malam tadi,” katanya.

Tamat