Janin Ditemui Dalam Loji Kumbahan

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Beberapa pekerja penyelenggaraan kumbahan terkejut selepas menemui satu janin di dalam sebuah pusat loji kumbahan berhampiran Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, pekerja loji yang membersihkan pembentungan berkenaan menemui janin tersangkut pada jaring pembersihan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan yang dijalankan mendapati tempat kejadian adalah sebuah loji pembentungan yang terletak berhampiran Wisma JKDM Sabah.

Katanya, ketika kerja-kerja penyelenggaran loji dijalankan, pekerja syarikat berkenaan menemui janin bayi tersangkut di dalam jaring loji kumbahan.

“Pekerja terbabit terus memaklumkan kepada penyelianya yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak Polis untuk bantuan segera.

“Siasatan lanjut mendapati, punca saliran air kumbahan adalah daripada saluran bangunan sebuah pusat beli belah dan kali terakhir kerja-kerja penyelenggaran loji dijalankan adalah pada 24 Jun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat pemeriksaan awal dan menjalankan sanitasi ke atas janin terbabit kerana disaluti dengan bahan buangan.

Menurutnya, saiz janin berkenaan berukuran 20 sentimeter dan berada dalam keadaan cukup sifat.

“Kejadian dipercayai masih baru berdasarkan warna kulit janin yang masih belum berubah warna.

“Bagaimananapun, usia dan jantina janin masih belum dapat disahkan oleh pihak hospital sehingga bedah siasat dijalankan,” katanya.

Habibi berkata, janin berkenaan sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.