Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup Minuman Keras.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

LABUAN: Cubaan penyeludup membawa keluar minuman keras gagal apabila kegiatan mereka itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Sungai Merapok, Lawas, Sarawak, semalam.

Dalam serbuan jam 11.30 malam itu, sebanyak 140 kotak minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai belum dibayar bercukai cuba diseludup keluar dari Labuan untuk dipasarkan di Sarawak melalui jalan laut.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Operasi Benteng Laut di kawasan berhampiran terus dikerah melakukan tindakan segera.

Katanya, hasil maklumat awam, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot dan sebuah van tebing perairan Lawas dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan Maritim Malaysia mengesan bungkusan yang dipercayai berisi minuman keras sedang dipunggah.

“Sebahagian besar bungkusan itu sudah dipindah masuk ke dalam kenderaan yang diletakkan di tebing sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Nor Bakari berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tanpa pemandu itu dipenuhi dengan minuman keras seludup.

Katanya, nilai anggaran minuman keras itu bagaimanapun belum dapat dipastikan dan masih siasatan Maritim Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barangan tanpa membayar cukai.

“Van serta barang rampasan dibawa ke pejabat Zon Maritim Labuan melalui jalan darat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Nor Bakari menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim supaya sentiasa berkerjasama dengan Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat.

Katanya, sebarang aktiviti yang mencurigakan khususnya membabitkan kegiatan penyeludupan atau melarikan cukai kerajaan boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia di talian 087-427999.

Tamat