BOT KARAM, SEORANG PEMANCING MASIH HILANG.

  

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang giat menjalankan operasi mengesan seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya karam di perairan Pulau Mabul, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mahmur Ajae, 45, bersama rakannya Salimin Saludin, 44, dilaporkan hilang selepas bot mereka karam ketika keluar memancing bersama.

Bagaimanapun, rakan mangsa iaitu Salimin berjaya ditemui penduduk kampung berhampiran manakala Mahmur pula masih gagal ditemui sehingga kini.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Norrimi Hassan berkata, Salimin berjaya ditemui selamat selepas hanyut berhampiran Pulau Mabul sebelum dibantu penduduk kampung.

Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan maklumat, kedua-dua mangsa menaiki sebuah bot berwarna biru di perairan Pulau Mabul pada petang 3 Julai lalu.

“Bagaimanapun, bot berkenaan dilaporkan karam pagi semalam di kedudukan kira-kira satu batu nautika dari Pulau Mabul,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norrimi berkata, selain Maritim Malaysia, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan TLDM.

Katanya, lokasi pencarian membabitkan lima sektor dengan keluasan 101 batu nautika persegi.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999 bagi membantu Operasi Mencari dan Menyelamat yang dijalankan ini,” katanya.

Tamat