Pemandu Tanpa Lesen Memandu, Maut Dalam Kemalangan.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Seorang lelaki yang memandu kereta tanpa lesen memandu maut selepas kenderaannya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di kilometer 26 Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa Azanan Yakab @ Azman, 44, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu bersendirian itu dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Tawau.

Katanya, sebaik sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan lorong bertentangan.

“Kenderaan mangsa juga merempuh sebatang tiang sebelum terbalik di kawasan kebun kelapa sawit yang berhampiran.

“Akibat dari kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nasri berkata, keadaan kenderaan mangsa turut mengalami kerosakan teruk akibat daripada impak kesan rempuhan.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian mangsa sendiri yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga berlakunya kemalangan.

“Walau bagaimanapun, siasatan masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986,” katanya.

Tamat