Penduduk Kampung Penimbawan Tuaran Tarik Nafas Lega, Masalah Air Selesai



TUARAN: Penduduk Kampung Penimbawan, di sini, kini menarik nafas lega apabila masalah bekalan air yang dihadapi selama ini kini telah berakhir.

Tinjauan mendapati projek penaiktarafan bekalan air graviti bernilai RM170,000 itu berjaya mengubah kehidupan penduduk setempat yang sebelum ini terpaksa berulang alik mengangkat 100 gelen air dari luar rumah.


Ketua Kampung Penimbawan 1, Abdul Rahim Tehe, 68,  berkata, semua penduduk kampung merasa sangat bersyukur kerana masalah yang membelenggu masyarakat Penimbawan telah diselesaikan.

“Saya bagi pihak penduduk kampung ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Ahli Parlimen Tuaran merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Tangau kerana sudah menyelesaikan isu bekalan air di kampung ini.

“Sekarang ini, semua rumah ke rumah yang sudah mempunyai air. Inilah kerajaan berikan bantuan kepada kami, Alhamdulilah syukur,” katanya.

Tasrin Madisa, 47, ketika ditemui berkata, beliau sekeluarga kini merasa sangat selesa dengan adanya air di rumah.

“Kita mandi pun selesa tidak macam dulu. Sebelum ini kami terpaksa berbaris  dengan kereta sorong mengangkat air dari hujung kampung yang kadang kala ada, dan kadang-kadang tiada,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Penimbawan, Derin Banih, 63, beliau berasa sangat bangga dan menyifatkan bekalan air sedemikian tidak pernah dinikmati oleh penduduk kampung.

“Kami berharap bekalan ini akan berkekalan dan kampung ini sentiasa mendapat perhatian dalam pembangunan daripada kerajaan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk kampung, Sigar Jitar, 45, turut melahirkan rasa terima kasih kepada Madius atas keperihatinan bagi memastikan warga kampung Penimbawan menerima bekalan air yang dinanti-nantikan selama ini.

“Dengan sentuhan kuasa Datuk Seri Madius selaku Ahli Parlimen, kami penduduk kampung merasa sangat teruja dengan bekalan air yang sejak sekian lama kami harapkan, akhirnya telah menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Madius ketika ditemui semasa membuat kunjungan itu kelmarin mengatakan terdapat dua tangki besar telah diletakkan untuk memastikan stok air sentiasa mencukupi.

“Di atas bukit sana, ada dipasang sebuah tangki yang mempunyai kapasiti 30,000 gelen air. Manakala di kampung ini kita ada tangki utama yang menyimpan 10,000 gelen air sebelum dialirkan kepada tangki di setiap rumah-rumah.

“Ini sekali gus membolehkan ia dapat menampung keperluan sebanyak 316 buah keluarga penduduk Kampung Penimbawan, berbanding hanya satu tangki utama dengan kapasiti 6,000 gelen air sebelum ini.

“Cuma saya memohon agar para penduduk di sini dapat bersama-sama menjaga kemudahan ini, dan tidak lagi ditebuk tebuk seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Tamat