APMM Semporna Rampas Syabu Bernilai RM23,000.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya merampas dadah bernilai RM23,000 dalam satu operasi khas yang dijalankan di Pulau Bum Bum, di sini, hari ini.

Dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, dadah disyaki jenis syabu atau Methamphetamine yang dirampas dianggarkan seberat 149.69 gram.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, operasi ‘OPS SEJAHTERA’ itu dijalankan selepas risikan mendapati terdapat kegiatan pengedaran dadah di kawasan perairan Pulau Bum Bum.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan di kawasan berkenaan kemudiannya terserempak dengan dua lelaki yang menaiki sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan yang mencurigakan.

“Apabila dua orang suspek terbabit menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak terjun ke laut dan berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot pam berkenaan kemudiannya membawa kepada penemuan dadah berkenaan bersama topeng muka berwarna biru dan coklat,” katanya dalm kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Norrimi berkata, pihaknya kemudiannya merampas bot pam tanpa nombor pendaftaran itu bersama dua enjin pam 15 kuasa kuda berkenaan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin yang dirampas dianggarkan bernilai RM35,000.

“Kita percaya sindiket ini bermula di daerah Semporna dan diseludup keluar menggunakan jalan air untuk pasaran di Negara Filipina.

“Ini adalah tangkapan pertama membabitkan kes mengikut Akta Dadah Berbahaya bagi Zon Maritim Semporna setakat ini,” katanya.

Sehubungan itu, Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari masa ke semasa.

Katanya, ia bagi memastikan perairan Semporna sentiasa selamat, aman dan terkawal tanpa sebarang kesalahan serta perlanggaran undang-undang.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

Tamat