Pemandu Maut Tercampak Dari Kenderaan


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TUARAN: Seorang pemandu lelaki maut selepas tercampak dari kenderaannya dalam kejadian kemalangan di Kampung Melalin, Jalan Telipok, Tenghilan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa berusia 38 tahun yang memandu Perodua Myvi dikatakan terbabas sebelum merempuh simen konkrit.

Akibat daripada insiden itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang hadir membantu pasukan polis dilokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kemalangan tidak membabitkan sebarang kenderaan lain.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai memandu laju dari arah Kota Kinabalu menuju ke Tuaran.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang dipercayai melanggar takungan air di atas jalan sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan.

“Kenderaan mangsa terbabas ke sebelah kiri bahu jalan sebelum terjunam merempuh simen konkrit parit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mangsa turut tercampak keluar dari kenderaan dan ditemui terbaring berhampiran kenderaannya.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di badan serta kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tamat