Bot Nelayan Vietnam Ditahan.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Tindakan sebuah kapal nelayan berselindung disebalik kapal kargo untuk mengaburi mata pihak berkuasa tidak berjaya apabila kapal berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.

Dalam tangkapan jam 2.30 petang itu, kapal nelayan berkenaan ditahan di kedudukan 23.4 Nautika Barat Laut, Pulau Kuraman, di sini selepas dikesan menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Nor Bakari Abu Bakar

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Nor Bakari Abu Bakar berkata, APMM bertindak atas aduan komuniti maritim yang kerap kali melihat kegiatan kapal berkenaan menangkap ikan di perairan negara.

Katanya, sebaik berjaya mengesan kapal berkenaan, bot ronda APMM terus merapati dua kapal nelayan itu tanpa disedari anak kapal kedua-dua kapal berkenaan.

“Bagaimanapun, sebaik pemeriksaan dilakukan, sebuah lagi kapal nelayan bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan, lima individu warga Vietnam termasuk tekong kapal berusia 22 hingga 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Nor Bakari berkata, semua anak kapal berkenaan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pukat tunda ganding yang digunakan juga didapati dipotong dipercayai bagi menghapuskan bahan bukti pihak penguatkuasaan.

“Semua individu berkenaan diarahkan menjalani ujian Covid-19 sebelum diiringi balik ke Jeti APMM Labuan untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka seakan-akan tidak takut tindakan undang-undang negara dan bot nelayan berkenaan didaftarkan atas nama One United untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Nor Bakari berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Tamat