Kastam Rampas Dadah Bernilai RM1.15 Juta dan Tiga Kontena Minuman Keras

Abdullah (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas sepanjang Ops Ice Break II 2020.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine bernilai RM1.15 juta dalam tiga operasi berasingan di Kota Kinabalu dan Tawau, awal bulan ini.

Operasi yang dijalankan selama empat hari bermula 1 Julai lalu itu turut berjaya menahan empat suspek utama dalam sindiket berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kejayaan pertama berjaya dicapai dalam operasi ‘Ops Ice Break II’ yang dijalankan di Lapangan Terbang Tawau.

Katanya, seorang lelaki berusia 53 ditahan sebaik tiba menaiki pesawat komersial dari Kuala Lumpur bersama bagasinya yang berisi bungkusan dadah.

“Lelaki terbabit ditahan pada jam 11.40 pagi bersama bagasi yang mengandungi bungkusan Methamphetamine seberat kasar kira-kira 4.193 kg atau bernilai RM209,650.

“Hasil siasatan lanjut, JKDM kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek wanita berusia 49 tahun di Nilai, Negeri Sembilan atas kesalahan sama,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, rampasan dadah kedua berkaya dilakukan pada 2 Julai lalu di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Katanya, dalam kejadian jam 11.30 pagi, pihaknya mengesan satu beg plastik yang ditemui ditinggalkan di dalam tandas di balai ketibaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan lapan bungkusan yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat lapan kilogram bernilai RM400,000.

“Rampasan terakhir pula berjaya dilakukan pada 4 Julai lalu di KKIA dan menahan dua lelaki tempatan yang membawa dua bagasi.

“Dalam kejadian jam 12.34 pagi itu, hasil pemeriksaan lanjut menemui bungkusan disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat mencecah hampir 11 kg dan dianggarkan bernilai RM550,000,” katanya.

Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Abdullah memberitahu pihaknya turut berjaya merampas tiga kontena berisi minuman keras disyaki belum lulus cukai.

Katanya, nilai minuman keras berkenaan dianggarkan sebanyak jumlah nilai dan jumlah cukai sebanyak RM303,316.13 dan RM1,268,015.44 di Inanam dan Lok Kawi.

“Minuman keras jenama Tiger serta Carlsberg itu dipercayai belum lulus Kastam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tamat