Maritim Malaysia Rampas 820 Batang Kayu Nibong.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TAWAU: Cubaan satu sindiket menyeludup 820 batang kayu nibong gagal selepas kegiatan itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kejadian di muara Sungai Inderasabah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, batang kayu nibong berkenaan ditemui ditinggalkan terapung di kawasan sungai terbabit.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten V Siva Kumar berkata, kejayaan rampasan dilakukan sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur 2/2013 menggunakan bot peronda di kawasan berhampiran.

Katanya, hasil pemantauan di lokasi, pihaknya mengesan longgokan kayu yang mencurigakan tanpa penjaga.

“Ketika rondaan dilakukan, anggota Maritim Malaysia menemui 41 ikat kayu nibong yang terapung di posisi 6.5 batu nautika selatan muara Sungai Inderasabah.

“Pemeriksaan mendapati, kayu nibong sebanyak kira-kira 820 batang iti dipercayai cuba diseludup masuk ke Kampung Indersabah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Siva berkata, semua kayu nibong itu kemudiannya dirampas dan jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM246,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua kayu berkenaan kemudiannya ditunda ke Pos Hadapan Inderasabah, Zon Maritim Tawau kerana disyaki melanggar Enakmen Perhutanan 1968.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siva memberitahu pihak Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan daerah itu bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras.

Sehubungan itu katanya, sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di perairan Tawau boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

Tamat