Penunggang Motosikal Maut.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tuaran: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah van dalam kejadian di Simpang Tiga, Jalan Pendamai 1, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 34 tahun maut selepas mengalami kecederaan serius di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati van yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun itu dikatakan keluar daripada simpang berkenaan secara tiba-tiba.

Katanya, penunggang motosikal terbabit yang bergerak dari arah Kota Belud menuju ke Kota Kinabalu dipercayai gagal mengelak van berkenaan.

“Penunggang motorsikal yang berada di jalan lurus tidak sempat mengelak dan terus merempuh bahagian hadapan kanan van berkenaan.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motorsikal mengalami cedera parah di bahagian badan dan kepala,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Hamizi berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tuaran yang tiba di lokasi kemalangan.

Manakala katanya, pemandu van pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua kenderaan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tamat