Dua Pegawai Perhubungan Ditempatkan Di Setiap Sekolah.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan menempatkan dua pegawai perhubungan di setiap sekolah di sekitar daerah ini bagi memastikan setiap pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mengikut rekod, terdapat sebanyak 19 sekolah menengah dan 34 sekolah rendah sudah memulakan pembelajaran seperti biasa bermula hari ini.

Katanya, kerjasama rapat dengan pihak sekolah ini penting untuk memastikan pelajar yang hadir mematuhi SOP ditetapkan bagi mengekang penularan penyakit Covid-19.

“Kehadiran polis di kawasan sekolah adalah sebagai serampang dua mata iaitu pertama bagi memastikan tiada pelajar yang terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Manakala, keduanya adalah untuk memastikan SOP yang ditetapkan KPM dipatuhi oleh setiap pelajar,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir, pengetua Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, Lily Wong Bitt Lee dan barisan kakitangan sekolah serta pegawai dan anggota polis IPD Kota Kinabalu.

Habibi berkata, tindakan itu perlu kerana apabila berada di kawasan sekolah, pelajar terikat dengan SOP yang dikuatkuasakan guru.

Namun katanya, apabila berada di luar kawasan sekolah, keadaan itu sudah pasti berada diluar kawalan.

“Jadi saya menetapkan dua pegawai perhubungan di setiap sekolah bagi menjalankan rondaan terutama di waktu puncak iaitu ketika pelajar datang dan balik sekolah.

“Kolaborasi ini penting bagi memastikan tiada sebarang perlanggaran SOP selain setiap perlakukan jenayah akan dapat diambil tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, sejak sekolah dibuka sejak 24 Jun lalu, pihaknya mendapati hampir 100 peratus pelajar mematuhi SOP manakala bagi masyarakat Kota Kinabalu pula hanya 98 peratus menuruti SOP ditetapkan,” katanya.

Selain itu katanya, sejak Januari lalu hingga kini, hanya sembilan pelajar sekolah di sekitar Kota Kinabalu terbabit dalam penagihan dadah dan diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tamat