KPDNHEP Sita Pelbagai Barang Kawalan Bernilai RM10,000.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, menyerbu sebuah premis perniagaan di Pekan Manggatal, di sini, hari ini.

Premis berkenaan diserbu selepas didapati memiliki barang kawalan melebihi had dibenarkan berjaya dikesan KPDNHEP.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Taha Julai berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pasukan penguatkuasa KPDNHEP terus menyita beberapa barang kawalan yang disimpan di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, pegawai penguatkuasa KPDNHEP menyita 1,692 kilogram (kg) gula, minyak masak (1,156 kg) dan tepung gandum (1,249 kg).

“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah keseluruhan kira-kira RM10,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Taha yang juga Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah berkata, siasatan mendapati premis berkenaan adalah pemegang lesen runcit barang kawalan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati pemilik perniagaan berkenaan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kesalahan yang dilakukan adalah memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang atau individu yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Taha berkata, bagi syarikat pula, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta.

tamat