Pelajar Disyaki Bunuh Diri Di Asrama Sekolah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seorang pelajar berusia 15 tahun dipercayai membunuh diri di asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Damai, di sini, petang tadi.

Pelajar perempuan tingkatan tiga itu ditemui tergantung di bilik asrama sekolahnya oleh rakan dan warden asrama pada jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa yang berasal dari Kota Marudu dikatakan bersama empat rakannya berada di bilik asrama sekolah berkenaan.

Katanya, empat rakannya kemudian keluar dari bilik asrama beberapa ketika sebelum salah seorang kembali ke bilik asrama untuk memanggil mangsa belajar bersama.

“Ketika cuba membuka pintu, rakan mangsa menyedari pintu bilik asrama mereka terkunci. Bimbang sesuatu buruk berlaku, rakannya terus meminta pertolongan daripada warden sekolah.

“Mereka beberapa kali mengetuk pintu namun tiada tindak balas daripada mangsa menyebabkan warden terus memecahkan pintu sebelum menemui mangsa dalam keadaan tergantung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan di lokasi kejadian dijalankan dan mendapati tiada berlaku sebarang unsur jenayah ditemui.

“Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Mayat mangsa sudah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi proses bedah siasat,” katanya.

Tamat