TAHAP PERSIAPAN SEKOLAH MEMUASKAN. KETUA POLIS PENAMPANG

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

PENAMPANG: Tahap persiapan sekolah-sekolah sekitar daerah Penampang sempena pembukaan kembali sesi pembelajaran amat memuaskan dan menyakinkan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, hasil tinjauan yang dijalankan, pihak polis yakin dengan langkah-langkah yang diambil itu mampu memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Katanya, secara keseluruhan, polis turut berpuas hati dengan kerjasama dan langkah proaktif yang diberikan oleh pihak sekolah sebagai persediaan menangani pandemik Covid-19.

“Sejak pembukaan sekolah untuk tingkatan lima dan enam, 24 Jun lalu, kita mendapati tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard dilakukan.

“Pematuhan daripada pelajar-pelajar juga amat baik dan polis yakin objektif untuk mengekang penularan wabak ini akan berjaya,”katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, hari ini.


Mohd Haris berkata, seramai 68 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sudah ditempatkan di setiap sekolah bagi memastikan amalan norma baharu dan SOP kekal dipatuhi.

“Kita sedar semua pelajar sudah bercuti panjang dan mereka perlu menyesuaikan diri untuk norma baharu di sekolah ketika ini.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu memastikan setiap pihak mematuhi tahap pematuhan SOP yang ditetapkan,”katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Limbanak, William Sipin Gusiang berkata, pembukaan semula sekolah pada hari ini berjalan lancar berikutan persiapan rapi yang dilaksanakan, sebelum ini.

Katanya, pihak sekolah mengambil pelbagai langkah termasuk menggunakan aplikasi  WhatSApp dan Telegram untuk memberi panduan dan taklimat kepada para pelajar berhubung amalan norma baharu.

“Pergerakan setiap pelajar di sekolah juga akan sentiasa dipantau manakala aktiviti korikulum tidak dibenarkan ketika ini,” katanya.

Tamat