Tiga Terselamat Kenderaan Bertembung.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Seorang pemandu pacuan empat roda dan anaknya terselamat selepas kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Tambunan berhampiran Gunung Alab, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, pemandu Isuzu D-max berusia 47 tahun dan anaknya, 20, dipercayai memandu laju sehingga gagal mengawal kenderaannya.

Akibat daripada kejadian itu, kenderaan mangsa memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh lori treler yang dipandu lelaki berusia 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda disyaki dipandu dalam kelajuan yang tinggi.

Katanya, kenderaan pacuan empat roda itu kemudiannya memasuki lorong bertentangan dan terus melanggar bahagian hadapan lori treler.

“Akibat daripada kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda mangsa rosak teruk dan pemandunya juga cedera parah.

“Manakala seorang lagi mangsa iaitu anak kepada pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemandu berusia 47 tahun dan anaknya yang cedera dihantar ke Hospital Tambunan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala katanya, pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua pemandu juga tidak disyaki mabuk ketika memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tamat