Mayat Warga Emas Terapung Ditemui.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Mayat seorang warga emas ditemui terapung di kawasan perairan berhampiran bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Haji Majinji berkata, mayat berkenaan disedari terapung oleh orang ramai kira-kira jam 5.30 petang sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berusia 78 tahun dan bekerja sebagai seorang nelayan.

“Kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya yang membuat laporan polis kira-kira jam 11 pagi sebelum penemuan mangsa.

“Mangsa dikatakan keluar menangkap ikan, kira-kira 5.30 pagi sehari sebelum itu dipercayai di kawasan Pelabuhan, Tanjung Lipat, namun tidak balik ke rumah selepas sehari,” katanya.

Habibi berkata, mayat mangsa dikenalpasti oleh anak lelakinya berusia 36 tahun yang membuat pengecaman mangsa melalui gambar dan pakaian mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Jesselton Point, di sini, oleh Bot Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan selanjutnya.

“Seramai empat pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melakukan proses menyahkuman mangsa bagi mencegah penularan Covid-19.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu dan setakat ini, punca kematian masih tidak diketahui.

Habibi berkata, proses bedah siasat juga akan dijalankan sejurus mendapat keputusan saringan Covid-19.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut.

Tamat