Seorang Pemandu Maut Dirempuh Lori Treler.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Beaufort: Seorang pemandu berusia 33 tahun maut selepas kenderaannya dirempuh sebuah lori treler dalam kejadian di kilometer 36 Jalan Beaufort-Menumbok, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang maut, Jamal Jumari dikatakan bergerak dari arah Menumbok menghala ke Kuala Penyu manakala lori treler pula bergerak dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, ketika sampi dilokasi kejadian, lori treler berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan semasa membrek selepas sebuah lagi kenderaan di hadapannya berhenti untuk masuk ke simpang Kampung Kepayan-Bt.Linting.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Mohd Azmir Abd Razak berkata, kedua-dua kenderaan kemudiannya bertembung sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke kawasan semak tepi jalan.

Katanya, akibat daripada kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian dalam badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Penyu yang hadir di lokasi kejadiaa  manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian depan dan kedua-dua pemandu tidak disyaki mabuk atau dibawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Azmir berkata, siasat awal mendapati keadaan jalan dan cuaca amat baik ketika kemalangan berkenaan berlaku.

Katanya, punca kemalangan dipercayai disebabkan kecuaian pemandu lori yang dipercayai gagal menjaga jarak dengan kenderaan dihadapannya.

“Walaubagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tamat