Koperasi dan Balai Raya Kg Sinalapak dibina semula


TUARAN: Koperasi dan Balai Raya Kampung Sinalapak Kiulu yang terbakar pada 29 Jun lalu akan dibina semula.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika sesi ramah mesra bersama penduduk kampung di sini, kelmarin.

“Hari ini saya telah datang dan melihat sendiri keadaan koperasi dan balai raya ini yang mana ia merupakan pusat aktiviti penduduk di sini.

“Sehubungan itu, pada kesempatan ini, saya mengumumkan untuk meluluskan pembinaan semula dua bangunan yang terlibat dalam kebakaran pada penghujung Jun lalu,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Menurut Madius, beliau akan meminta pegawainya untuk melihat kos-kos yang terlibat, dan kemudian barulah projek itu akan dilaksanakan.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Wanita Kedai Pengindapuan Kampung Sinalapak, Anita O T Hokom@Hukum menyambut baik pengumuman yang disampaikan oleh Madius.

“Koperasi yang diusahakan oleh kaum wanita di kampung ini amat diperlukan bagi membudayakan keusahawanan dalam penduduk kampung.

“Di samping itu, ia juga merupakan salah satu sumber pendapata penduduk di kampung ini,” ujarnya sambil sambil menambah bahawa kedua-dua bangunan yang dibina semula itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk kampung.

Hadir sama, dua Setiausaha Politiknya, Joisin Romut dan Albert Bingkasan.

Terdahulu Madius juga turut menyampaikan sumbangan berupa wang ringgit kepada pemimpin agama di sekitar Tuaran.

Penyampaian disampaikan kepada Gereja Yesus Benar, Gereja Protestan Sabah (PCS), Gereja Seventh-Day Adventist, Basel Christian Church of Malaysia (BCCM), Gereja Anglikan dan Calvary Charismatic Centre (CCC).

tamat