KPLB Sabah Serah Bas Sekolah dan 7 RSR Kepada Mesej Labang

NABAWAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyerahkan sebuah bas sekolah dan tujuh unit Rumah Sejahtera Rakyat (RSR) kepada Mini Estate Sejahtera (MESEJ) Labang, di sini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kemudahan itu disediakan kerajaan melalui KPLB Sabah atas permintaan peserta Mesej Labang semasa lawatan ke mesej itu tahun lalu.

“Tujuh buah rumah sejahtera rakyat yang telahpun siap tahun ini, adalah tambahan kepada 33 buah rumah peserta Mesej Labang sedia ada. Ini bermakna Mesej Labang kini mempunyai 40 peserta.

“Manakala van sekolah ini pula akan digunakan oleh para pelajar ke sekolah dan peserta mesej untuk urusan berkaitan hospital atau kegiatan lain berkaitan yang dibenarkan jawatankuasa yang mengurus bas mini ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan bas mini bermuatan 18 penumpang dan Rumah Sejahtera Rakyat kepada peserta Mesej Labang, di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kemudahan itu adalah antara keperluan utama yang dikemukakan para peserta Mesej Labang semasa lawatan beliau ke mesej itu tahun lepas.

“Tahniah kita berjaya menunaikan permintaan mereka dan saya berharap bas mini ini dapat memberikan keselesaan kepada para peserta terutamanya para pelajar sekolah,” katanya.

Terdahulu itu, ketika berucap, Ewon berkata, kerajaan menyediakan sebanyak RM18 juta untuk membina 300 unit RSR tahun ini.

“RSR mempunyai tiga bilik tidur, sebuah bilik air, tandas, dapur dan beranda atau kaki lima serta warna cat yang tersendiri bagi mengwujudkan identiti tersendiri rumah di bawah Program RSR.

“Selain di Mesej Labang, KPLB Sabah juga telah menyiapkan sebanyak 20 unit RSR di Mesej Tukar Pitas. Selepas ini, kita akan laksanakan pembinaan RSR di Mesej Abai Kinabatangan, Mesej Timpangoh Laut Penampang, Mesej Kotud Kota Marudu dan Mesej Mansalu Ranau,” katanya.

Ewon berkata, sebelum ini rumah-rumah peserta Mesej dibina melalui peruntukan yang disalurkan oleh FELDA, bagaimanapun kementerian tidak lagi menerima peruntukan tersebut.

“Walaupun begitu, program Mesej perlu diteruskan, maka saya telah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menyediakan peruntukan khas bagi program perumahan rakyat termiskin terutamanya di perkampungan Mesej,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam dan para pemimpin masyarakat setempat.

Ends